Semua ibu mengandung hendak mudah bersalin. Kata orang kalau hendak senang bersalin perlu lakukan banyak usaha. Selain mengamalkan petua pemakanan, ibu juga mesti rajin bersenam.
Ibu hamil pun boleh bersenam. Semuanya untuk mengekalkan kecergasan dan stamina sepanjang mengandung. Senaman dapat membantu otot-otot bersedia untuk proses kelahiran bayi kelak. Bagaimanapun senaman ibu hamil tidak sama seperti senaman ketika masih belum berbadan dua.
Ibu dilarang melakukan senaman yang berat dan pergerakan yang boleh menyebabkan bahaya kepada ibu dan janin dalam kandungan. Berikut adalah beberapa gerakan senaman yang boleh dilakukan oleh ibu hamil.
1. Senaman lantai pelvik
Semasa mengandung, otot-otot pelvik menjadi lemah kerana menampung beban yang banyak. Jadi anda akan mudah terkencing semasa bersin, batuk atau muntah. Senaman ini membantu menguatkan otot-otot pelvik. Caranya dengan membuat kemutan. Tahan seperti menahan kencing dan bernafas seperti biasa. Lakukan dalam kiraan enam saat kemudian rehat dan ulang semula.
2. Bertinggung
Bertinggung seakan mencangkung, tetapi ia ditahan oleh jari kaki. Semasa bertinggung, kaki berada dalam keadaan bertinjit. Letakkan kedua-dua tangan di atas kedua-dua belah lutut dan tahan selama yang mampu. Lakukan senaman ini sekerap yang anda mahu. Senaman ini boleh meredakan ketegangan punggung serta membantu meregangkan kaki.
3. Berenang
Antara senaman yang paling digalakkan kepada ibu hamil adalah berenang. Ia boleh memberikan keadaan terapung atau dalam keadaan tanpa beban. Kawalan pernafasan semasa berenang dapat membantu proses bersalin nanti kerana nafas yang panjang bakal diperlukan semasa meneran. Selain itu, berenang dapat menguatkan otot-otot semasa berada di dalam air.
4. Berjalan kaki
Aktiviti berjalan boleh mengeluarkan peluh dan menggerakkan otot-otot yang bakal digunakan semasa bersalin. Mulakan berjalan kaki secara perlahan dengan jarak yang pendek. Amalkan sebanyak tiga kali dalam seminggu. Kemudian boleh ditambah kelajuan berjalan dan jumlah jarak.
5. Menaiki tangga
Senaman ini mungkin kurang diminati oleh ibu hamil tetapi faedahnya sangat baik untuk mereka. Bagaimanapun, senaman ini tidak sesuai dilakukan pada awal kehamilan kerana bimbang rahim ibu masih belum kuat untuk menghadapi tekanan semasa menaiki tangga. Menaiki tangga banyak melibatkan otot paha dan pelvik. Menaiki tangga dengan kerap tetapi tidak laju dipercayai dapat mempercepatkan bukaan perineum dan memudahkan proses bersalin.
6. Kerja rumah
Melakukan kerja-kerja ringan di rumah turut menjadi salah satu aktiviti senaman. Bagaimanapun elakkan daripada melakukan kerja-kerja berat yang boleh menyebabkan kecederaan kepada ibu dan janin dalam kandungan.
Bagaimanapun sebelum memulakan senaman, rujuk kepada pakar terlebih dahulu dan bersenam mengikut kemampuan. Jangan lupa minum banyak air.
cp : Majalah Pa& Ma
Tiada ulasan:
Catat Ulasan